Monday, November 29, 2010

Rancangan pembunuhan Saidina Hamzah

Tidak cukup dengan persetujuan Wahsyi untuk membunuh Hamzah, kaum musyrikin menghantar Hindun binti Utbah, iaitu isteri pembesar mereka, Abu Sufian untuk menyertai rancangan jahat ini. Hindun telah kehilangan ayah dan bapa saudaranya di dalam peperangan Badar. Beliau tahu bahawa Hamzahlah yang membunuh mereka.
Kedengkian dan dendam yang membara telah membutakan hati Hindun. Hindun mahu membalas dendam. Ketika itu, kepalanya hanya memikirkan bagaimana hendak membunuh Hamzah. Hindun memanggil Wahsyi dan menunjukkan sebungkal mutiara kepadanya.
"Lihatlah………lihatlah ikatan mutiara ini!!!!!!!!! Ia akan menjadi milikmu jika engkau berjaya membunuh Hamzah."
Wajah Wahsyi berseri-seri mendengar tawaran tersebut. Beliau mula berangan-angan menjadi seorang kaya yang merdeka. Keazamannya untuk membunuh Hamzah semakin meluap-luap. Wahsyi adalah seorang yang mahir dalam melontar lembing, bahkan lebih mahir daripada orang lain yang turut serta dalam peperangan tersebut.
Tentera muslimin berjuang bermati-matian di dalam Perang Uhud. Seperti biasa, Hamzah menyerang musuhnya dengan garang. Tiada seorang pun musuh di hadapannya yang terlepas daripada tetakan maut pedangnya itu. Pedangnya tidak pernah jatuh ke tanah. Tentera Islam menang besar pada permulaan perang.
Apabila tentera musyrikin lari dari medan perang, sebahagian daripada anggota pasukan memanah meninggalkan tempat mereka. Mereka sibuk mengumpulkan harta rampasan perang yang ditinggalkan oleh tentera musyrikin, sedangkan Rasulullah S.A.W. telah berpesan supaya mereka tetap di tempat yang telah ditentukan sehingga peperangan tamat.
Tentera musyrikin tidak melepaskan peluang ini. Mereka mengatur serangan balas dan memusnahkan pertahanan orang Islam. Tentera Islam kalah teruk. Di saat yang runcing ini, Hamzah berteriak dan bangkit menyerang musuh-musuh di hadapannya. Pada waktu itu Wahsyi bersedia untuk membunuh Hamzah.
Wahsyi menceritakan, "Aku menyertai tentera musyrikin dengan tujuan untuk membunuh Hamzah. Aku menunggu lama sambil melihatnya menyerang dan menewaskan musuh-musuhnya. Beliau memancung kepala tentera musyrikin dengan tangkas dan garang. Aku bersembunyi di sebalik bukit yang rendah. Apabila peluang tiba, aku memperkemaskan genggaman lembingku lalu melontarnya ke arah Hamzah. Lembing itu tepat mengenai sasaran. Hamzah cuba berjalan tetapi ternyata tidak berdaya. Hujung lembing yang menusuk perutnya menyebabkan beliau rebah ke bumi. Setelah yakin Hamzah sudah mati, aku mencabut lembing dari perutnya dan memulangkannya kepada tuanku. Aku menuntut hadiah yang dijanjikan oleh Hindun binti Utbah, tetapi beliau berkata kepadaku, ‘Engkau tidak dapat meredakan kemarahan ku sehinggalah aku memakan hati Hamzah.’
Aku kembali ke medan perang dan mengeluarkan hati Hazmah lalu memberikannya kepada Hindun. Hindun pum memamahnya untuk menghilangkan rasa dendam terhadap Hamzah."
Kemudian Wahsyi menyambung ceritanya, " Selepas membunuh Hamzah, aku pulang ke Makkah dan tinggal di sana sehingga kaum Muslimin menguasainya. Aku lari ke Thaif. Di Thaif, aku menyembunyikan diri daripada orang-orang Islam. Aku terfikir untuk melarikan diri ke Syam. Tetapi salah seorang sahabatku berkata, ‘ Wahai Wahsyi, Rasulullah tidak membunuh seorang pun yang menganut agamanya. Segeralah berjumpa Rasulullah, nescaya engkau selamat.’ Aku pun bersegera menemui Rasulullah di Madinah. Aku berdiri tidak jauh daripadanya lalu mengucapkan dua kalimah syahadah. Rasulullah memandang ku dan bertanya, ‘adakah engkau yang bernama Wahsyi?’
‘Ya wahai Rasulullah,’ jawabku. Aku lihat wajah baginda kelihatan kusut kerana marah.
‘Ceritakan kepada ku mengapa engkau membunuh Hamzah,’ sabda baginda.
Aku pun menceritakan segala-galanya mengenai pakatan membunuh Hamzah. Lalu baginda memalingkan mukanya daripada ku seraya berkata, ‘Pergilah engkau dari sini! Jangan perlihatkan lagi mukamu kepada ku mulai saat ini!’ Aku pun menjauhkan diri daripada dilihat oleh Rasulullah. Aku menyisihkan diriku dalam keadaan sedih, menyesal dan malu."