Monday, November 29, 2010

Selepas peperangan Uhud

Selepas tamat perang Uhud, Rasulullah turun ke medan perang untuk mengenali para syuhada. Alangkah sedihnya baginda apabila melihat jasad bapa saudaranya yang terbujur kaku. Baginda melihat jasad Hamzah dengan air mata yang mengalir. Sambil menundukkan mukanya Rasulullah bersabda, "Engkau tidak akan ditimpa musibah seperti ini lagi selama-lamanya…"
Kematian Hamzah merupakan satu kehilangan besar kepada Islam. Beliau adalah panglima dan penunggang kuda yang tiada tolok bandingnya. Kesedihan Nabi di atas kehilangan Hamzah samalah seperti kesedihan baginda pada hari kematian Khadijah, isteri baginda yang pertama. Hamzah ibarat baju besi yang melindungi Islam dan beliau juga merupakan pembantu yang jujur kepada baginda.
Rasulullah S.A.W. tidak berupaya untuk menyembunyikan kemarahannya lalu berkata, " Jika Allah memberikan ku kekuasaan, nescaya aku akan membalas kematian Hamzah dengan 30 orang kafir Quraisy."
Tetapi tidak lama kemudian, turunlah peringatan Allah kepada Rasulullah. Ayat Al-Quran tersebut bermaksud, " Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Tetapi, jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang bersabar. Bersabarlah (wahai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah, dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap tipu daya mereka."
Bayangkanlah betapa sedihnya Rasulullah ketika baginda turun ke medan perang selepas peperangan tamat. Bayangkanlah betapa pedihnya perasaan Rasulullah apabila melihat jasad bapa saudaranya yang telah dikeluarkan hatinya! Baginda melihat dengan linangan air mata, mendongak ke langit dan mengadu kepada Allah.
Rasulullah berdiri di hadapan jasad Hamzah dan tentera Islam yang telah syahid bersama-samanya. Rasulullah berdiri buat beberapa lama dan diam menahan sebak di dada. Kemudian baginda menyeru dengan suara yang hampir pecah kerana sedih, " Hulurkan kepadaku jenazah Hamzah…"
Jenazah Hamzah pun dihulurkan kepada Rasulullah untuk disembahyangkan. Selepas selesai sembahyang Rasulullah memandang mayat Hamzah sekali lagi. Kedua-dua mata baginda digenangi air. Baginda berkata, " Engkau tidak akan ditimpa seperti ini lagi wahai bapa saudaraku."
Kemudian jenazah yang kedua dihulurkan kepada baginda, diletakkan di sisi Hamzah lalu disembahyangkan. Kemudian jenazah yang ketiga, keempat dan begitulah seterusnya sehingga 70 orang syuhada. Mereka disembahyangkan oleh Rasulullah seorang demi seorang dan jenazah Hamzah sentiasa berada di situ pada setiap kali sembahyang. Ertinya, Rasulullah telah menyembahyangkan jenazah Hamzah sebanyak 70 kali sebagai menghormati dan memuliakannya.
Setelah semua jenazah selamat dikebumikan, Rasulullah dan para sahabat pun pulang ke Madinah dalam keadaan sedih yang amat sangat. Di hati setiap orang Islam ketika itu tersimpan perasaan pilu di atas kehilangan Hamzah, bapa saudara dan sahabat Rasulullah yang amat disayangi itu.
Dalam perjalanan pulang ke Madinah, baginda mendengar kaum wanita menangisi pahlawan-pahlawan Islam yang terbunuh. Rasulullah bersabda, " Tiada seorang pun yang menangisi kematian Hamzah…"