Monday, November 29, 2010

Saidina Hamzah Panglima Islam

Apabila Rasulullah S.A.W. memulakan dakwah Islam secara terbuka tidak ada di kalangan anak Abdul Mutalib yang mahu memeluk Islam. Hanya Abu Talib yang menunjukkan rasa simpati terhadap Rasulullah. Abu Talib yang melihat sendiri peribadi Rasulullah dan kebenaran ajaran Islam. Malangnya hati beliau sendiri tidak terbuka untuk menerima Islam.
Hamzah melihat perjuangan anak saudaranya itu dengan pandangan yang hormat, tetapi beliau tidak serta merta memeluk Islam. Hamzah sendiri menyaksikan kesungguhan serta kesabaran Rasulullah di dalam menyebarkan dakwahnya. Beliau juga menyaksikan bagaimana musuh-musuh baginda dari kalangan orang Quraisy membuat tipu helah dan berusaha menyakiti baginda.
"Aku tahu bahawa Muhammad itu benar dalam dakwahnya kerana beliau orang yang dipercayai," kata Hamzah kepada dirinya. "Muhammad adalah semulia-mulia manusia dan beliau mempunyai keupayaan yang tinggi. Muhammad mempunyai hati yang teguh, jiwa yang luhur, roh yang suci dan setiap apa yang dikhabarkannya adalah benar."
Hamzah mempercayai setiap kelebihan yang ada pada Rasulullah. Tapi, beliau masih belum bersedia untuk beriman secara terbuka. Hamzah berada di antara dua persimpangan. Beliau berasa kasihan melihatkan anak saudaranya ditindas oleh kaum Quraisy. Dalam masa yang sama, beliau terikat dengan kepercayaan datuk neneknya sebelum itu.
Hamzah serba salah. Beliau melihat Rasulullah menyeru orang ramai kepada Islam dengan tabah dan penuh semangat. Tetapi apabila melihat dirinya sendiri, Hamzah kehairanan. Hamzah hairan kerana beliau memang mahu mengikut agama yang dibawa oleh Muhammad, tetapi dalam waktu yang sama beliau ragu-ragu.
Walaubagaimanapun, dalam perasaan yang berbelah bahagi itu, hamzah sentiasa mengawasi Rasulullah. Secara diam-diam, beliau berazam untuk melindungi dan menjaga keselamatan Rasulullah dalam setiap keadaan.
Bagi memastikan keselamatan Muhammad terjamin, Hamzah selalu berjalan-jalan di sekitar Kaabah. Beliau ingin melihat dan mendengar apa yang diperkatakan oleh orang-orang Quraisy mengenai agama yang dibawa oleh Muhammad. Beliau selalu mengintip untuk mendengar tipu helah serta cacian mereka terhadap Muhammad. Cerita-cerita yang didengar hanya menambahkan kebingungannya.
Orang-orang Quraisy mengadakan berbagai-bagai perancangan untuk menghapuskan dakwah Muhammad. Mereka mempersendakan Muhammad serta memanggil baginda dengan berbagai-bagai gelaran. Sebahagian daripad mereka bertaruh antara satu sama lain untuk membunuh Muhammad. Hamzah mendengar ancaman tersebut daripada pembesar-pembesar Quraisy ketika mereka berbincang di Kaabah. Hamzah sungguh sedih kerana beliau tidak berupaya untuk membuat sesuatu bagi melindungi anak saudaranya itu.
Pada suatu petang, keadaan telah mengubah segala-galanya. Ketika itu, Hamzah baru pulang daripada memburu. Beliau terfikir untiuk singgah di Kaabah sebelum pulang ke rumah. Tiba-tiba beliau terdengar suara memanggilnya.
"Wahai Abu Amarah! Wahai Abu Amarah!"
Abu Amarah adalah nama lain yang sering digunakan oleh orang ramai apabila memanggil Hamzah.
Hamzah berpaling ke belakang. Beliau melihat seorang wanita berlari-lari ke arahnya. Wanita itu ialah hamba Ibnu Jud’an, seorang pembesar Quraisy yang kaya dan terkenal dengan sifat pemurahnya.
"Wahai Abu Amarah! Abu Jahal telah memarahi Muhammad dan memukulnya di Kaabah. Beliau telah mencurahkan tanah di kepala baginda di hadapan bangsawan Quraisy,"kata wanita itu sambil tercungap-cungap.
Hamzah melihatnya dengan perasaan gelisah. Beliau mula naik marah.
"Di mana Muhammad sekarang ?" tanya Hamzah .
"Muhammad telah pulang ke rumahnya. Baginda sungguh sedih dan dukacita,"jawab wanita itu.
Hamzah tidak dapat mengawal perasaannya. Tanpa membuang masa, beliau terus menuju ke Kaabah. Di sana, beliau mendapati Abu Jahal sedang berkumpul bersama-sama pemuda Quraisy yang lain.
Hamzah tidak berkata walau sepatah pun. Beliau terus mengeluarkan sebilah anak panah lalu melepaskannya ke arah Abu Jahal. Anak panah tersebut mengenai muka Abu Jahal. Darah mula mengalir keluar.
"Inilah balasan terhadapmu, Abu Jahal!" herdik Hamzah. "Kenapa engkau mencerca dan memukul Muhammad?Adakah engkau lupa bahawa datuknya Abdul Mutallib adalah ketua kaum Quraisy dan bapa saudaranya Abu Talib adalah saudaraku yang juga pemimpin kamu? Adakah engkau lupa semua ini sehingga engkau memukul dan mencercanya serta mencurahkan tanah ke atas kepalanya?"
Abu Jahal tergamam denagn perkara yang tidak disangka-sangkanya itu. Beliau menjadi takut lalu berteriak, "Wahai Abu Amarah, sesungguhnya Muhammad bukan dari agama kita! Mengapakah engkau mencederakanku dengan anak panahmu dan menolong seorang yang bukan dari agama kita?"
"Wahai Abu Jahal!" kata Hamzah dengan lantang. "Mulai saat ini, aku menganut agama Muhammad…Aku memeluk Islam!"
Kaum Quraisy berpandang-pandangan antara satu sama lain. Mereka terkejut dan tertanya-tanya dalam kebimbangan. Sebahagian daripad mereka berkata, "Celaka! Ini kerugiaan besar. Pengislaman Hamzah adalah kekuatan besar yang akan menolong Muhammad dalam dakwahnya serta melemahkan kita!"
Itulah yang terjadi! Hamzah adalah seorang lelaki yang berani lagi unggul. Beliau telah meisytiharkan keislamannya di hadapan kaum Quraisy, sedangkan pada waktu itu, sesiapa yang diketahui memeluk agama Islam akan sentiasa terdedah kepada penyiksaan pembesar-pembesar Quraisy.