Wednesday, March 16, 2011

Cara Imam Ghazali mencari ilmu

Suatu ktika Imam Ghazali brsembahyg jemaah dgn adikny. Imam Ghazali mnjdi Imam mnkala adiknya menjdi makmum. Tiba-tiba semasa bersembahyang, adik Imam Ghazali mufarakah (keluar daripada menjadi makmum) dan bersembahyang sendirian.
Setelah selesai menunaikan sembahyang Imam Ghazali terus bertanya kepada adiknya: “Mengapa ketika bersembahyang engkau meninggalkan aku dan bersembahyang sendirian”
Lantas adiknya menjawab; “Bagaimanakah aku hendak bersembahyang denganmu. Aku lihat tubuhmu penuh bersalut darah. Lantaran itulah aku bermufarakah dan sembahyang sendirian”
Mendengar jawapan adiknya itu Imam Ghazali terus berfikir dan lantas teringat bahawa memang benar, pada ketika itu beliau sedang menulis tentang permasalahan haidh. Dan, memang benar juga, terdapat satu saat semasa beliau menunaikan sembahyang pemikiran beliau terbawa-bawa oleh apa yang sedang beliau tulis itu. Dan saat itu jugalah Allah zahirkan apa yang sedang beliau fikirkan itu ke mata adiknya sehingga adiknya melihat tubuh badannya dipenuhi dengan darah.
Imam Ghazali terkejut lantas bertanya kepada adiknya; “Bagaimanakah kamu berupaya untuk melihat hal yang ghaib? Beritahulah kepadaku dari siapa kamu belajar ilmu ini”
Adiknya kemudian menjawab; “Engkau tidak layak belajar dengannya. Engkau orang yang masyhur, sedangkan guruku ini orang biasa sahaja”
Imam Ghazali terus mendesak sehingga akhirnya adik beliau bersetuju untuk membawanya berjumpa dengan gurunya itu. Di pasar, mereka mendatangi seorang penjual daging. Lalu adiknya memberitahu itulah guruku.
Imam Ghazali terus berkata kepada penjual daging;”Tuan, saya mohon untuk belajar ilmu dengan Tuan”
Penjual daging menggelengkan kepalanya lalu berkata; “Aku tidak ada ilmu untuk mengajar kamu”
Imam Ghazali merayu sekali lagi; “Ajarlah saya. Ajarkanlah saya ilmu yang Tuan tidak ada itu”
Penjual daging tetap enggan menunaikan keinginan Imam Ghazali itu. Akhirnya Imam Ghazali berkata kepada penjual daging tersebut; “Ajarlah saya. Saya serahkan diri saya kepada Tuan seumpama mayat menyerahkan diri kepada si tukang mandi”
Penjual Daging kemudian berkata; “Baiklah, tanggalkanlah jubah kebesaran kamu itu (jubah yang dipakai Imam Ghazali kerana beliau merupakan orang tertinggi di Universiti Nizamiyyah). Sapulah meja tempat aku memotong dan menjual daging ini dengan jubahmu itu.”
Tanpa berlengah lagi Imam Ghazali terus menunaikan kehendak penjual daging tersebut tanpa sedikitpun merasa terkilan. Setelah selesai, beliau berkata lagi kepada penjual daging; “Ajarkanlah aku ilmu”
Penjual daging kemudian berkata;”Baiklah, esok datanglah ke rumahku selepas Subuh”
Tepat selepas Subuh keesokan harinya Imam Ghazali sudah sedia menanti sipenjual daging di hadapan rumah. Sebaik sahaja melihat Imam Ghazali beliau terus menyuruhnya memotong rumput di kawasan rumah. Imam Ghazali terus akur tanpa terdetik di dalam hatinya sedikitpun rasa terhina. Selesai menyiapkan tugas yang dipinta oleh penjual daging, Imam Ghazali pun mendatangi beliau, lalu mengulangi kata-kata;”Ajarkanlah aku ilmu”
Penjual daging berkata;”Baiklah, esok datanglah ke rumahku selepas Subuh”
Sama seperti hari sebelumnya, sebaik-baik sahaja selepas Subuh Imam Ghazali sedia menunggu di hadapan rumah penjual daging. Melihatkan Imam Ghazali, penjual daging meminta pula beliau mencuci longkang di sekeliling rumahnya. Imam Ghazali tetap taat menuruti perintah penjual daging.
Setelah selesai, Imam Ghazali berkata kepada penjual daging;”Wahai Tuan, kerja yang Tuan suruh telah dilaksanakan. Ajarkanlah aku ilmu.”
Penjual daging berkata lagi;”Baiklah, datanglah kembali selepas Subuh esok”
Keesokan harinya hal yang sama juga berlaku. Kali ini penjual daging meminta Imam Ghazali menimba najis dari tandas beliau. Tugas yang ini juga dilaksanakan tanpa terselit sedikitpun perasaan terhina dalam hati Imam Ghazali.
Apabila selesai penjual daging tersebut berkata; “Segala ilmu yang kamu mahu telah kamu dapat. Pulanglah.”
Dalam perjalanan pulang Imam Ghazali terkejut kerana mendapati pandangannya telah tersingkap dan beliau dapat melihat hal-hal yang ghaib.
Pengajaran:

1. Kita melihat Imam Ghazali sebaik sahaja mengetahui tentang sesuatu ilmu terus sahaja beliau mencari dan mendatanginya serta berusaha untuk mendapatkannya tanpa berputus asa. Tidak pula beliau mengambil sikap menunggu ilmu itu mendatangi beliau.

2. Perkara lain yang boleh dipelajari ialah ketaatan Imam Ghazali terhadap arahan gurunya. Apabila diminta datang selepas Subuh, beliau menghadirkan diri tepat pada waktunya. Tatkala diminta membuat pelbagai perkara, beliau akur tanpa banyak bersoal jawab bahkan tidak terdetik pun di dalam hatinya perasaan musykil dan prasangka terhadap gurunya. Sikapnya yang tawaduk dan menyerahkan diri bulat-bulat seumpama mayat menyerah diri kepada si tukang mandi agar dapat dididik sepenuhnya oleh gurunya inilah yang mendorongnya untuk mentaati tiap perintah, membuat segala yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh gurunya.

3. Dalam mendidik, penjual daging tersebut menumpukan kepada mengikis sifat-sifat mazmumah seperti ego dan menanamkan sifat-sifat mahmudah seperti tawadhuk dalam diri anak muridnya. Sifat-sifat mazmumahlah sebenarnya yang menghijab ilmu yang ingin dialirkan daripada sampai ke hati. Manakala sifat mahmudah merupakan kunci kepada kefahaman ilmu. Apabila hati bersih, hati mudah menerima ilmu. Dan dengan hati yang bersih dari sifat mazmumah ini juga menjadikan hati itu semakin tenang dengan banyaknya ilmu dan bukannya semakin berserabut.
Hasil daripada itu kita dapat lihat mengalirnya keberkatan ilmu dari gurunya itu kepada Imam Ghazali. Sehingga beliau berupaya menghasilkan tulisan yang agung, dapat menghafal lebih 100,000 hadith dan digelar Hujjatul Islam.